Ibu Bapa Anak Keperluan Khas Diseru Dapatkan Sokongan
KUCHING: Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berkeperluan khas diseru mendapatkan sokongan daripada agensi serta organisasi berkaitan bagi membantu mereka menghadapi cabaran dalam menjaga dan membangunkan potensi anak-anak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, membesarkan dan menjaga anak berkeperluan khas bukan satu perjalanan yang mudah, justeru keluarga perlu mempunyai sistem sokongan yang kukuh.
Beliau berkata, ibu bapa bukan sahaja berperanan sebagai penjaga, malah turut menjadi guru, penyokong, pembela dan sumber kekuatan kepada anak-anak mereka.
“Bersama-sama, kita mesti membina komuniti di mana keluarga tidak perlu menghadapi cabaran-cabaran ini secara bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian KATSN The Gifted Art Gallery 2026 di Plaza Merdeka, di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah berkata, sistem sokongan yang lebih kukuh dan menyeluruh perlu dibangunkan bagi memastikan keluarga tidak berdepan cabaran tersebut secara bersendirian.
Katanya, ibu bapa dan penjaga boleh mendapatkan sokongan daripada Kuching Association of Talented Special Needs (KATSN), Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta organisasi berkaitan.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, penjaga dan komuniti penting dalam mewujudkan persekitaran yang dapat menyokong golongan berkeperluan khas serta keluarga mereka. -EDISI UKAS