Peruntukan Satu Pertiga Kerusi Parlimen Penting Untuk Melindungi Hak Sarawak Di Bawah MA63
SIBU: Peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak adalah penting bagi melindungi hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kevin Lau Kor Jie, berkata hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 dilindungi oleh Perlembagaan, manakala pindaan terhadap Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.
“Peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak adalah penting bagi melindungi hak kedua-dua negeri berkenaan serta memastikan perkara yang berkaitan dengan Sarawak dirundingkan sewajarnya dengan kerajaan negeri.
“Ini termasuk mendapatkan persetujuan mereka apabila diperlukan,” katanya ketika berucap pada sambutan Pesta Tanglung yang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sadit Kiri, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata persetujuan itu dicapai susulan pertemuan peringkat tinggi baru-baru ini antara Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berhubung MA63.
Dalam pada itu, Kevin turut mengingatka pemimpin masyarakat bahawa mereka memainkan peranan penting bukan sahaja dalam memberikan khidmat kepada rakyat, malah menyatukan komuniti melalui pelbagai program dan sambutan yang bermakna.
“Perhimpunan seperti itu dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk serta memupuk semangat saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain.
“Saya menyeru semua pihak supaya terus bersatu dalam mempertahankan hak Sarawak, bukan sahaja untuk kepentingan generasi hari ini, tetapi juga generasi akan datang,” katanya. -EDISI UKAS