CRC, Penjagaan Paliatif Perlu Diperluas Hadapi Peningkatan Kes Kanser Menjelang 2030
KUCHING: Kemudahan penyelidikan klinikal seperti ‘Clinical Research Centre’ (CRC) serta perkhidmatan penjagaan paliatif perlu terus diperluas di Sarawak bagi menghadapi peningkatan keperluan pesakit penyakit kronik termasuk kanser yang dijangka mencecah kira-kira 30,000 individu memerlukan penjagaan paliatif menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, peningkatan tersebut menuntut perancangan lebih menyeluruh dari segi kapasiti fasiliti, tenaga kerja dan dasar kesihatan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan serta penjagaan yang bersesuaian.
Menurut beliau, Sarawak telah memulakan pelbagai inisiatif dalam bidang penyelidikan klinikal, termasuk penubuhan CRC sejak awal 2000-an yang kini menjadi antara platform penting dalam pelaksanaan percubaan rawatan baharu melibatkan manusia.
“Banyak perkara yang kita lakukan hari ini adalah yang pertama, termasuk dalam percubaan klinikal. Sebab itu pengiktirafan diberikan di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Northbank Business Xchange, di sini pada Isnin.
Tambah beliau lagi, pembangunan penyelidikan klinikal penting bagi memastikan Sarawak mempunyai keupayaan untuk meneroka dan menilai kaedah rawatan baharu, selaras dengan keperluan kesihatan masyarakat yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu turut menekankan kepentingan memperluas akses kepada penjagaan paliatif berasaskan komuniti, termasuk pusat penjagaan akhir hayat di Kuching yang kini semakin mendapat kepercayaan masyarakat.
Katanya, peningkatan kapasiti katil pusat berkenaan daripada lapan kepada 16 unit membolehkan lebih ramai pesakit menerima penjagaan, hasil komitmen petugas kesihatan serta sokongan keluarga pesakit.
“Yang penting, pesakit dapat melalui hari-hari terakhir mereka dengan tenang dan gembira bersama keluarga. Itu satu aspek yang kita tidak boleh abaikan,” jelasnya.
Beliau berkata, keperluan terhadap penjagaan paliatif dijangka terus meningkat dengan dianggarkan kira-kira 30,000 individu memerlukan perkhidmatan tersebut menjelang 2030.
Justeru, katanya, pembangunan sektor kesihatan Sarawak tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada penambahan kemudahan fizikal, sebaliknya perlu turut memperkukuh aspek kemanusiaan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan autonomi kesihatan bagi Sarawak supaya negeri ini dapat merancang dan melaksanakan dasar kesihatan yang lebih bersesuaian dengan keperluan serta realiti penduduk tempatan. -EDISI UKAS