Hayati Hari Malaysia Sebagai Detik Paling Bersejarah Negara
SIBU: Penghayatan terhadap Hari Malaysia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan semata-mata sambutan berbentuk perayaan.
Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said berkata, Hari Malaysia merupakan kesempatan untuk memahami sejarah, menghargai kepelbagaian serta mengukuhkan semangat kebersamaan sebagai sebuah negara yang berdaulat.
“Generasi hari ini perlu memahami bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang kita nikmati bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Ia merupakan hasil perjuangan, pengorbanan, toleransi dan kebijaksanaan generasi terdahulu.
“Tanpa memahami sejarah, kita mungkin mengambil mudah nikmat keamanan yang ada pada hari ini. Justeru, sejarah perlu dijadikan sebagai panduan untuk kita melihat ke hadapan dan bukannya sekadar untuk mengimbau masa lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting pada Majlis Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Sibu, pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik penganjuran mini pameran berkenaan dalam memberikan ruang kepada masyarakat untuk memahami sejarah pembentukan Malaysia, menghayati perjalanan negara serta memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Setiap tahun pada 16 September, kita memperingati Hari Malaysia sebagai satu tarikh penting dalam sejarah pembentukan negara.
“Pada tahun 1963, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sarawak dan Sabah membentuk sebuah persekutuan baharu yang dikenali sebagai Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Pameran Mini Hari Malaysia 2026 diadakan selama seminggu dari 10 hingga 16 September di semua bahagian Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia 2026, dengan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah sambutan tahun ini.
Di Sibu, pameran anjuran bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sibu dan Jabatan Penerangan Daerah Sibu itu dibuka dari 9.30 pagi hingga 5 petang di perkarangan pasaraya Bisonte.
Hadir sama pemangku Pegawai Penerangan Daerah Sibu Sharifah Robiah Wan Hadion dan Pegawai UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang. -EDISI UKAS