Sambutan Hari Warga Emas 2026 Perkukuh Kesedaran Penuaan Sihat
SIMANGGANG: Kesedaran mengenai kepentingan penuaan sihat dalam kalangan warga emas terus diperkukuh menerusi penganjuran Sambutan Hari Warga Emas 2026.
Program itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Hospital Sri Aman, Naquib Akmal Kasim di di sini pada Rabu.
Berucap pada majlis tersebut, Naquib berkata sambutan yang bertemakan “Penuaan Sihat, Kehidupan Berkualiti” itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan penuaan sihat di samping menggalakkan pengesanan awal pelbagai masalah kesihatan dalam kalangan warga emas.
Menurut beliau, program itu turut menyediakan penilaian kesihatan secara menyeluruh yang meliputi aspek fizikal, mental dan fungsi bagi membantu warga emas mengekalkan kualiti hidup yang lebih baik.
Seramai 80 warga emas menyertai program berkenaan yang diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk senaman chair aerobik serta lawatan ke stesen saringan kecergasan dan kesihatan.
Antara saringan yang disediakan ialah saringan sarkopenia, penilaian fizikal dan fungsi, pengurusan ubat-ubatan, penilaian kognitif serta kesihatan mental yang dikendalikan oleh Unit Fisioterapi, Unit Terapi Cara Kerja, Jabatan Farmasi dan Jabatan Psikiatri.
Beliau berharap penganjuran program itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan penyakit, pengesanan awal masalah kesihatan serta memperkukuh sokongan komuniti kepada golongan warga emas.-EDISI UKAS