UNIFOR, CFM Perkukuh Kerjasama Pelihara Keharmonian Antara Agama
KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti Kristian di Malaysia menerusi sesi libat urus bersama Jawatankuasa Eksekutif ‘Christian Federation of Malaysia’ (CFM) bagi memperkasa keharmonian antara agama serta kesejahteraan masyarakat.
Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau berkata, sesi tersebut menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan sedia ada melalui dialog konstruktif, pertukaran pandangan dan perbincangan mengenai pelbagai perkara berkepentingan bersama.
Sesi libat urus itu berlangsung sempena lawatan rasmi Jawatankuasa Eksekutif CFM ke Kompleks UNIFOR di sini, pada Rabu.
Sepanjang sesi tersebut, delegasi CFM turut diberi penerangan mengenai peranan dan fungsi UNIFOR dalam menyokong pembangunan rumah ibadat agama-agama lain serta sekolah mubaligh di seluruh Sarawak.
Mereka juga dibawa melawat Kompleks UNIFOR bagi melihat sendiri pelaksanaan model kerjasama antara agama yang diamalkan di Sarawak, yang menjadi antara faktor utama dalam mengekalkan keamanan, persefahaman dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh persefahaman, saling menghormati dan kerjasama rentas agama demi memelihara keharmonian yang menjadi identiti Sarawak.
Delegasi CFM yang hadir mewakili tiga badan gabungannya iaitu ‘Catholic Bishops’ Conference of Malaysia’ (CBCM), ‘Council of Churches of Malaysia’ (CCM) dan ‘National Evangelical Christian Fellowship’ (NECF) diketuai oleh Pengerusi CFM, Rev Dr Eu Hong Seng.
Turut menganggotai delegasi tersebut ialah Naib Pengerusi CFM, Most Reverend Archbishop Julian Leow Beng Kim dan The Right Reverend Bishop Datuk Danald Jute, Setiausaha Kehormat Rita Sabrina Wong, Penolong Setiausaha Kehormat Dr Khoo Kay Hup, Penolong Bendahari Kehormat Most Reverend Archbishop Dato Dr Simon Poh, Setiausaha Eksekutif Rev Andy Chi Cheng Khee serta beberapa ahli jawatankuasa eksekutif CFM. -EDISI UKAS