Industri Pengangkutan Disaran Terajui Pengurusan RSA Pan Borneo Melalui PPP
KUCHING: Pemain industri pengangkutan darat seperti pengusaha bas, lori dan operator berkaitan disaran membentuk konsortium bagi mengambil bahagian dalam pengurusan serta operasi Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo menerusi pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata penglibatan pemain industri sebagai pengguna utama kemudahan berkenaan amat penting kerana mereka lebih memahami keperluan operasi serta cabaran yang dihadapi pengguna jalan raya dan pengendali kenderaan komersial.
Menurutnya, pendekatan PPP berpotensi mewujudkan RSA yang diurus dengan lebih baik, mampan dari segi komersial serta mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna selain membuka peluang perniagaan baharu kepada sektor pengangkutan.
“Pendekatan PPP akan membolehkan pembangunan RSA yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan lebih baik dan meningkatkan keselamatan jalan raya, malah mewujudkan peluang ekonomi kepada pemain industri pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi dialog dan libat urus Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) berkaitan perancangan serta penambahbaikan RSA dan kemudahan hentian rehat di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo di Hotel Hilton Kuching, pada Rabu.
Sesi berkenaan menghimpunkan wakil MOTS, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB) Sarawak serta persatuan yang mewakili pengusaha bas, lori dan pemain industri pengangkutan darat.
Sehubungan itu, Dato Sri Lee berkata Lebuhraya Pan Borneo merupakan koridor pengangkutan penting bagi Sarawak dan perancangan RSA perlu mengambil kira keperluan sebenar semua pengguna jalan raya.
Jelasnya, RSA yang dirancang dengan baik bukan sekadar lokasi persinggahan, tetapi merupakan komponen penting dalam mewujudkan rangkaian pengangkutan darat yang lebih selamat, cekap dan boleh dipercayai.
“Dengan kerjasama bersama pemain industri, kita dapat memastikan kemudahan ini dibangunkan dengan cara yang memberi manfaat kepada pengguna jalan raya serta sektor pengangkutan secara keseluruhannya,” ujarnya.
Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi dialog itu termasuk cadangan lokasi RSA dan hentian baharu, selain kemudahan sokongan seperti stesen minyak, bengkel penyelenggaraan kenderaan, farmasi, premis makanan dan minuman, tandas bersih serta ruang parkir mencukupi untuk kenderaan berat.
Maklum balas dan cadangan daripada sesi libat urus tersebut akan dikumpulkan serta dinilai oleh JKR Sarawak bagi menyediakan cadangan pembangunan RSA dan hentian rehat di lokasi strategik sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan I (Udara dan Jalan) Datuk Jerip Susil, Pengarah CVLB Sarawak Cornelia Wong Chui serta Ketua Seksyen Pengangkutan Darat dan Logistik MOTS Chong Chi Fam.-EDISI UKAS