Kerajaan Perkukuh Keselamatan, Kebajikan Nelayan Melalui Bantuan Bersasar
LIMBANG: Kerajaan terus memperkukuh keselamatan dan kebajikan komuniti nelayan menerusi penyampaian maklumat yang tepat, pelaksanaan program turun padang serta penyaluran bantuan bersasar bagi meningkatkan tahap perlindungan, pengetahuan dan kesejahteraan golongan tersebut.
Ketua Wilayah Perikanan III Miri, Muhammad Saini Suliansa berkata, Jabatan Perikanan komited memastikan komuniti nelayan sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai dasar kerajaan, inisiatif pembangunan serta peraturan baharu termasuk pelaksanaan Akta Perikanan 1985 (Pindaan) 2025.
Beliau berkata, penyampaian maklumat secara terus melalui program interaksi membolehkan nelayan memahami perubahan dasar, bantuan yang disediakan kerajaan serta meningkatkan pematuhan terhadap peraturan demi kelestarian sektor perikanan.
“Program interaksi ini bertujuan menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan kepada golongan sasar, khususnya nelayan, mengenai program-program yang akan dan telah dilaksanakan pada tahun 2026, di samping memberi penerangan mengenai Akta Perikanan (Pindaan) 2025,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Interaksi Bersama Komuniti Nelayan Daerah Limbang dan Penyerahan Bantuan Peralatan Touch Point di Dewan Bunga Raya, pada Rabu.
Menurut beliau, pendekatan turun padang bukan sahaja mengukuhkan penyampaian maklumat kerajaan, malah membuka ruang kepada komuniti nelayan menyuarakan keperluan, pandangan dan cabaran yang dihadapi bagi membolehkan tindakan serta penyelesaian yang lebih berkesan dirangka.
Katanya, program itu turut meningkatkan pengetahuan dan kemahiran nelayan serta usahawan perikanan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan, sekali gus menyokong pembangunan industri perikanan yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.
Pada program tersebut, peserta turut mengikuti taklimat mengenai Akta Perikanan 1985 (Pindaan) 2025, selain perkongsian daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Miri dan Agrobank Limbang berkaitan kemudahan serta sokongan kepada komuniti perikanan.
Pada majlis sama, seramai 60 nelayan menerima bantuan jaket keselamatan bernilai keseluruhan RM9,840, manakala tiga nelayan menerima Personal Locator Beacon (PLB) bernilai keseluruhan RM8,340 bagi meningkatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut.
Penyampaian bantuan tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh perlindungan komuniti nelayan di samping memastikan pembangunan sektor perikanan terus dipacu melalui gabungan penyampaian maklumat, pemerkasaan kapasiti dan sokongan yang bersasar.
Hadir sama Timbalan Pegawai Wilayah merangkap Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Miri, Awang Ismail Awang Sharie dan Ketua Kampung Limpaku Pinang, Simatzaman Sapar.-EDISI UKAS