Korea Selatan Rakan Strategik Penting Dalam Pembangunan Ekonomi Sarawak
SEOUL: Korea Selatan terus muncul sebagai antara rakan strategik terpenting Sarawak dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi, tenaga, pembuatan dan pembangunan bakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua pihak telah mewujudkan pelbagai peluang ekonomi, industri dan pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.
“Selama bertahun-tahun, Sarawak dan Korea telah membina hubungan rapat bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga melalui kerjasama perniagaan yang kukuh.
"Kerjasama ini terus berkembang merentasi perdagangan, pelaburan, teknologi, tenaga, pembuatan dan pembangunan bakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus bersama Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) yang dianjurkan oleh SMD Semiconductor di Seoul, Korea Selatan pada Ahad.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Korea Selatan mencecah RM27.4 bilion pada tahun 2025, manakala perdagangan antara Sarawak dan Korea Selatan sahaja bernilai RM16.8 bilion.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak itu berkata, angka tersebut mencerminkan keyakinan tinggi syarikat Korea Selatan terhadap Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaburan syarikat Korea telah menyumbang kepada penciptaan ribuan peluang pekerjaan di negeri ini, khususnya di Taman Perindustrian Samalaju.
Menurutnya, sebanyak 9,157 peluang pekerjaan telah diwujudkan di kawasan itu dengan 83 peratus daripadanya disandang oleh tenaga kerja tempatan.
Turut hadir Timbalan Menteri MINTRED Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Dato' Mohd Zamruni Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor Shariman Jamil serta Pengerusi OCI Holdings dan OCI TerraSus, Woo Hyun Lee.-EDISI UKAS