Bakat Berkemahiran Tinggi Penting Pacu Industri Masa Depan Sarawak
SEOUL: Bakat berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi, penyelidikan, kejuruteraan, inovasi dan keusahawanan amat penting bagi menyokong pembangunan industri masa depan serta memperkukuh daya saing Sarawak di peringkat global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keperluan terhadap tenaga mahir akan terus meningkat selaras dengan usaha kerajaan negeri mempercepatkan transformasi ekonomi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut beliau, Sarawak kini sedang membangunkan pelbagai industri bernilai tinggi termasuk tenaga hijau, teknologi digital, aeroangkasa, pembuatan canggih, infrastruktur pintar dan industri semikonduktor.
“Pada tahun-tahun akan datang, Sarawak akan terus memerlukan lebih ramai jurutera, saintis, penyelidik, pakar teknologi, usahawan dan inovator untuk menyokong ekosistem teknologi tinggi yang semakin berkembang.
“Seiring Sarawak bergerak ke arah industri termaju dan teknologi masa depan, peluang yang tersedia di tanah air akan terus bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi libat urus bersama Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) yang dianjurkan oleh SMD Semiconductor di Seoul, Korea Selatan pada Ahad.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa menghargai sumbangan pelajar yang menuntut di luar negara dan melihat mereka sebagai aset penting dalam pembangunan negeri.
Katanya, pengalaman serta pendedahan yang diperoleh di negara maju seperti Korea Selatan mampu membantu melahirkan modal insan berkualiti yang diperlukan bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Beliau turut menggesa pelajar Malaysia khususnya anak Sarawak agar memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba ilmu dan pengalaman di Korea Selatan sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.
Turut hadir Timbalan Menteri MINTRED Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Dato' Mohd Zamruni Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor Shariman Jamil serta Pengerusi OCI Holdings dan OCI TerraSus, Woo Hyun Lee.-EDISI UKAS