Tradisi Cukur Jambul Perlu Dipelihara Agar Tidak Pupus Ditelan Zaman
BINTANGOR: Tradisi warisan masyarakat Melayu seperti majlis cukur jambul perlu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda agar tidak hilang ditelan peredaran zaman.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, generasi muda perlu didedahkan serta digalakkan untuk mempelajari dan meneruskan amalan tradisi tersebut supaya ia dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa hadapan.
Menurut beliau, tradisi cukur jambul bukan sahaja mencerminkan identiti dan warisan budaya masyarakat Melayu, malah menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
“Tradisi ini perlu dikekalkan dan diwariskan kepada generasi muda agar terus subur serta relevan sepanjang zaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Cukur Jambul Beramai-Ramai yang dianjurkan Jawatankuasa Surau Darul Ikshan di Surau Darul Ikshan, Bintangor, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Ir Yusuf berharap hubungan silaturahim antara penduduk akan terus diperkukuh dan semangat kerjasama dapat dipertingkatkan bagi memastikan pelbagai usaha pembangunan serta kemajuan kampung dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Majlis tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 28 peserta yang terdiri daripada penduduk Kampung Melayu Bintangor, Kampung Tanjung Bundong serta peserta dari kawasan luar.
Program yang dihadiri kira-kira 150 orang itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Berzanji, solat Isyak dan acara tepung tawar ke atas para peserta sebagai kemuncak majlis.
Sebagai tanda penghargaan, Dato Ir Yusuf turut menyampaikan sumbangan kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.-EDISI UKAS