Datuk Mohammad Razi Luang Masa Sambut Hari Gawai Bersama Penduduk Rumah Panjang Jerai
DEBAK: Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam meneruskan tradisi mendekati masyarakat akar umbi menerusi kunjungan mesra sempena sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Jerai, di sini, pada Isnin.
Beliau yang tiba sekitar jam 11 pagi disambut Tuai Rumah Stephen Lambor Anak Langgi serta penduduk yang berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Gawai.
Kunjungan itu memberi peluang kepada Datuk Mohammad Razi bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan penduduk sambil mengikuti perkembangan semasa komuniti di rumah panjang berkenaan.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk atas semangat kerjasama dan perpaduan yang terus diamalkan sehingga membantu mengekalkan keharmonian masyarakat di kawasan berkenaan.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Ranting Kampung Tuie Suib Pa'aie, Ketua Ranting Kampung Medang Ani Narudin, Ketua Ranting Supa Hilir Kamri Karim serta Ketua Kampung Tuie Kamaludin Brahim.-EDISI UKAS