Sambutan Gawai Dayak Rumah Panjang Kepayang Jaya Meriah, Perkukuh Warisan Budaya Dayak
SELANGAU: Sambutan Gawai Dayak 2026 di Rumah Panjang Kepayang Jaya, Sungai Arip, dekat sini berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian adat dan budaya yang mencerminkan keunikan warisan masyarakat Dayak.
Sambutan dimulakan pada pagi 31 Mei dengan upacara Beranchau Tikai sebagai simbol pembukaan rasmi perayaan Gawai Dayak 2026 di rumah panjang berkenaan.
Pada sebelah petang, upacara Miring di Tiang Pengingat diadakan sebagai lambang penghormatan terhadap adat dan kepercayaan masyarakat setempat, diikuti dengan upacara Pengawa Mupuka Antu Rua yang menjadi sebahagian daripada tradisi sambutan Gawai.
Menjelang malam, suasana rumah panjang bertambah meriah menerusi acara Bejalai Niti Ruai apabila penduduk mengenakan pakaian tradisional seperti Ngepan Iban, Baju Burung dan Kain Burie, selain pakaian moden termasuk kebaya dan batik bagi menyerlahkan kemeriahan perayaan.
Acara Makai di Ruai turut menjadi tumpuan apabila pelbagai hidangan tradisional dan moden disediakan untuk dinikmati bersama seperti pansuh dan pulut yang menjadi makanan tradisional kegemaran masyarakat setempat.
Rumah panjang yang mempunyai 27 pintu itu turut menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk.
Sambutan tahun ini turut diserikan dengan acara Ngirup Ai Pengayu serta beberapa pertandingan yang mendapat penyertaan dan sambutan hangat daripada penduduk rumah panjang berkenaan. -EDISI UKAS