3,000 Pengunjung Meriahkan Rumah Terbuka Gawai Dayak Datuk Francis Harden
SRI AMAN: Lebih 3,000 memeriahkan Program Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis dan keluarga di kediamannya di Jalan Tini, Munggu Sabun pada Isnin.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin serta para pemimpin masyarakat setempat.
Selain beramah mesra dengan tetamu kehormat dan penduduk yang hadir, Datuk Francis yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 20 kelab dan persatuan di kawasan DUN Simanggang.
Peruntukan berjumlah RM143,000 itu disalurkan bagi membantu membiayai pelbagai aktiviti dan program yang dirancang oleh kelab serta persatuan terbabit sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Datuk Amar Dr Sim memuji inisiatif Datuk Francis dan keluarganya yang terus membuka pintu kediaman mereka kepada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang untuk sama-sama meraikan perayaan Gawai Dayak.
"Mesej yang ditonjolkan melalui sambutan orang ramai kepada program ini dilihat amat menggalakan dan merupakan landasan tepat dalam mengukuhkan perpaduan penduduk berbilang kaum dalam usaha membina negara bangsa berteraskan kemampuan Sarawak.
"Justeru, saya berharap agar kemakmuran seperti ini terus dipertahankan dalam memberi kepada seluruh rakyat untuk terus fokus bersama-sama dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030)," katanya. -EDISI UKAS