Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Industri Semikonduktor Serantau
SEOUL: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi apabila meneroka kerjasama strategik dengan pemain utama industri semikonduktor Korea Selatan bagi mempercepat pembangunan ekosistem semikonduktor negeri.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meneruskan lawatan rasmi beliau ke Pangyo Tech Park, Korea Selatan bagi mengadakan perbincangan mendalam dengan Korea Semiconductor Industry Association (KSIA) berhubung sinergi dengan Sarawak serta akses ke pasaran ASEAN melalui kerjasama strategik.
Seterusnya, beliau mengadakan pertemuan dengan InterVest Co., Ltd., salah satu firma modal teroka terkemuka di Korea Selatan, bagi meneroka peluang pelaburan dalam ekosistem semikonduktor Sarawak.
Pertemuan tersebut turut melibatkan syarikat-syarikat portfolio InterVest iaitu Mobilint dan Soteria.
Kedua-dua sesi pertemuan tersebut bertujuan mempromosikan peluang pelaburan dalam sektor pembuatan maju Sarawak, dengan tumpuan khusus kepada industri semikonduktor dan perkhidmatan digital.
Pada sebelah petang, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak itu turut mengadakan pertemuan dengan satu lagi kumpulan pelabur bagi membincangkan potensi penubuhan perniagaan rantaian bekalan kenderaan elektrik (EV) di Sarawak.
Siri pertemuan ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang mencerminkan aspirasi Sarawak untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2030, dipacu oleh inisiatif ekonomi baharu berasaskan data dan inovasi. -EDISI UKAS