Saringan Awal Kanser Perlu Diperkasa Demi Kesihatan Wanita Sarawak
DALAT: Kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara dan kanser serviks perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan lebih ramai wanita tampil menjalani saringan kesihatan, sekali gus meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti perlu terus diperluaskan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk komuniti luar bandar.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang diterima sepanjang Program Saringan Kanser Payudara dan HPV DNA membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan semakin meningkat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Saringan Kanser Payudara dan HPV DNA yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Sungai Kut Muara, Dalat, pada Isnin.
Jelasnya, kanser payudara masih merupakan antara penyakit yang paling banyak dihidapi wanita di Malaysia, namun ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit tersebut berada pada tahap lanjut.
“Keadaan ini menjejaskan peluang pesakit untuk menerima rawatan yang lebih berkesan. Justeru, usaha pengesanan awal melalui program saringan perlu terus diperkasakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif turun padang yang dilaksanakan oleh Sarawak Breast Cancer Support Group (SBCSG) amat penting dalam memastikan wanita khususnya di kawasan luar bandar mendapat akses kepada maklumat kesihatan, pemeriksaan klinikal payudara dan saringan awal secara lebih mudah.
Menyentuh mengenai kanser serviks, beliau berkata penyakit itu merupakan ancaman serius kepada wanita dan Sarawak antara negeri yang mencatatkan kadar insiden kanser serviks yang tinggi di negara ini.
Katanya, saringan HPV DNA merupakan kaedah penting dalam usaha pengesanan awal selain membantu wanita memahami risiko penyakit serta mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.
Beliau turut menyeru golongan wanita agar tidak mengabaikan kesihatan diri dan menjadikan pemeriksaan berkala sebagai amalan demi kesejahteraan keluarga dan insan tersayang.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Dalat serta Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Menurut beliau, kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan, agensi kesihatan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memperluas program kesedaran serta pengesanan awal penyakit dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SBCSG yang terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser payudara menerusi pelbagai program pendidikan kesihatan, kempen kesedaran dan aktiviti sokongan kepada pesakit.-EDISI UKAS