Ngabang Jadi Lambang Keharmonian, Perkukuh Perpaduan Rakyat Sarawak
KUCHING: Tradisi ‘ngabang’ yang sinonim dengan sambutan Hari Gawai Dayak terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, tradisi ‘ngabang’ yang diamalkan masyarakat Iban bukan sekadar amalan kunjung-mengunjung semasa musim perayaan, malah menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan persaudaraan, meraikan kepelbagaian dan menyemarakkan semangat kebersamaan.
"Melalui tradisi inilah hubungan persaudaraan diperkukuh, perbezaan diraikan dan semangat kebersamaan terus disemarakkan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di media sosial selepas mengunjungi rumah kediaman mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang sempena Hari Gawai Dayak pada Isnin.
Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selaku tetamu kehormat diiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Datuk Amar Fadillah menambah, ‘ngabang’ ini digunakan sebagai kesempatan untuk bertemu dan bertanya khabar rakan-rakan lama serta menikmati suasana Gawai yang penuh kemesraan, kegembiraan dan semangat kekeluargaan.
Katanya, senyuman yang terukir, gelak tawa yang dikongsi serta pertemuan yang berlangsung menjadi cerminan indah keharmonian yang sentiasa menjadi kekuatan negeri ini.
Baginya, inilah keunikan Sarawak sebagai sebuah bumi yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi, namun sentiasa disatukan oleh nilai saling menghormati, persefahaman dan persaudaraan yang utuh.
"Dalam kepelbagaian inilah lahirnya kekuatan yang menjadikan Sarawak contoh keharmonian dan perpaduan yang membanggakan," jelasnya.
Justeru, beliau berharap semoga semangat Gawai terus menjadi jambatan yang menghubungkan hati, mengeratkan persaudaraan dan memupuk rasa syukur atas nikmat keamanan serta kemakmuran yang dikecapi bersama. -EDISI UKAS