Replika Gong Kampung Quop Dayak Bakal Dinaik Taraf
KUCHING: Replika gong yang menjadi mercu tanda warisan masyarakat Dayak di Kampung Quop Dayak di sini bakal dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM30,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim mengumumkan peruntukan tersebut semasa merasmikan replika gong sempena sambutan Hari Gawai di Persimpangan Simpang Rundim, Kampung Quop Dayak, pada Selasa.
Menurut beliau, kawasan tersebut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi persinggahan serta tarikan bergambar kepada pengunjung yang melalui laluan berkenaan.
“Saya mahu replika ini dibina dengan lebih menarik dan menyerupai gong sebenar supaya ia menjadi kebanggaan penduduk setempat serta mampu menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah memuji usaha masyarakat Kampung Quop Dayak yang terus komited memelihara identiti budaya dan adat tradisi meskipun arus pemodenan semakin berkembang.
Menurut beliau, gong bukan sekadar alat muzik tradisional, malah merupakan simbol warisan, sejarah dan kebanggaan masyarakat Dayak yang perlu terus dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang.
“Walaupun zaman telah berubah dan generasi hari ini lebih terdedah kepada teknologi, usaha mengekalkan simbol budaya seperti gong ini amat penting supaya sejarah dan adat resam masyarakat Dayak tidak dilupakan,” katanya. -EDISI UKAS