SUPP Bawang Assan Santuni Komuniti Rumah Panjang Sempena Sambutan Hari Gawai
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan mengadakan kunjungan Hari Gawai ke beberapa buah rumah panjang di kawasan Bawang Assan bagi meraikan perayaan tersebut bersama komuniti Dayak, pada Isnin.
Pengerusi SUPP Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, Hari Gawai merupakan perayaan yang mencerminkan kekayaan warisan budaya Sarawak serta menjadi medium terbaik untuk memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Menurut beliau, sambutan tersebut bukan sahaja memberi peluang untuk merapatkan silaturahim, malah menjadi platform bagi pemimpin mendekati rakyat serta memahami keperluan dan aspirasi mereka secara lebih dekat.
“Hari Gawai bukan sekadar pesta menuai atau masa untuk berkumpul bersama keluarga, tetapi ia merupakan platform penting yang mempamerkan keunikan Sarawak dalam konteks keharmonian, saling menghormati dan pertukaran budaya antara kaum.
“Aktiviti turun padang seperti ini memberi peluang kepada pemimpin masyarakat untuk mendengar sendiri keluh-kesah, keperluan dan aspirasi penduduk rumah panjang secara terus,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat selain memastikan suara masyarakat di peringkat akar umbi sentiasa diberi perhatian.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Rumah Thomas Palus, Rumah Luke Sulai, Rumah Peter Tinggom, Rumah Stewart Dinggi, Rumah Abell dan Rumah Milli serta kediaman Temenggong Stanley Gramong Bandar.
Dalam kunjungan tersebut, Kaunselor Kevin Lau bersama rombongan turut dijemput menyertai upacara tradisional Miring di Rumah Stewart Dinggi yang merupakan antara adat penting masyarakat Dayak dalam meraikan sambutan Hari Gawai.
Program berkenaan turut disertai oleh ahli-ahli SUPP Bawang Assan serta pemimpin masyarakat tempatan yang bersama-sama menyantuni penduduk rumah panjang sepanjang lawatan tersebut.-EDISI UKAS