Ngabang Gawai Perkukuh Hubungan Pemimpin Dan Rakyat Di Sarikei
SARIKEI: Program Ngabang Hari Gawai Dayak 2026 yang berlangsung di beberapa rumah panjang di kawasan Sarikei dan Meradong menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata program tersebut bukan sahaja meraikan sambutan Hari Gawai Dayak, malah berperanan sebagai wadah untuk mendengar sendiri pandangan, keperluan dan aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, amalan ‘ngabang’ atau kunjung-mengunjung sempena Hari Gawai merupakan tradisi yang memperkukuh silaturahim antara pemimpin dan masyarakat dalam suasana penuh kemesraan serta semangat perpaduan.
“Ia berperanan sebagai wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat dalam suasana penuh kemeriahan sempena sambutan Gawai Dayak,” katanya ketika menghadiri program tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk rumah panjang dan masyarakat pelbagai kaum atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, sokongan tersebut menjadi pemangkin untuk beliau terus membawa suara rakyat serta memperjuangkan keperluan masyarakat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri demi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
“Sokongan ini menjadi dorongan untuk saya terus menyuarakan isu dan keperluan rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri demi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh dapat dinikmati oleh rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang terus menerajui kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negeri.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan rakyat terus dilaksanakan termasuk di kawasan luar bandar dan rumah panjang bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Program Ngabang Hari Gawai pada Ahad itu melibatkan kunjungan ke empat buah rumah panjang iaitu Rumah Kinchu Ajan, Rumah Pitre Ambit, Rumah Clement Asuh dan Rumah Anthony Suding.
Mengakhiri lawatan, Dato’ Sri Huang berkata sambutan Hari Gawai Dayak bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi medium penting dalam memupuk perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak.-EDISI UKAS