Semua Rumah Panjang DUN Marudi Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam Tahun Ini
MIRI: Seluruh rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi dijangka menikmati bekalan elektrik 24 jam menjelang penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil berkata, ketika ini hanya 16 rumah panjang di kawasan berkenaan masih belum disambungkan kepada grid elektrik dan bergantung kepada generator diesel.
Menurutnya, lapan rumah panjang yang belum menerima bekalan elektrik terletak di kawasan Bukit Limau dan Sungai Lamah, manakala lapan lagi di Sungai Peking.
“Saya dimaklumkan oleh Sarawak Energy Berhad bahawa kerja-kerja penyambungan bagi kesemua 16 rumah panjang tersebut dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.
"Apabila projek ini siap, semua rumah panjang di DUN Marudi akan menikmati bekalan elektrik 24 jam,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Miri, pada Rabu.
Datuk Dr Penguang menambah, kelewatan penyambungan bekalan elektrik ke rumah panjang terbabit berpunca daripada kerja-kerja menghubungkan talian daripada grid utama ke rumah panjang berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, empat rumah panjang di Long Teran telah menerima bekalan elektrik sebelum Hari Gawai Dayak, manakala Rumah Kara di Sungai Nat turut berjaya disambungkan bekalan elektrik baru-baru ini.
Sementara itu Datuk Dr Penguang berkata, pelbagai projek pembangunan lain di kawasan Marudi turut menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
“Pembinaan jalan raya mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dari Marudi ke Miri kini berjalan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
“Manakala projek menaik taraf jalan dari Lapok ke Simpang Long Jegan serta Jalan Long Lama ke kawasan Ulu Baram kepada piawaian JKR R1 juga sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2028,” katanya.
Selain itu ujarnya, beberapa projek pembangunan lain sedang berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk pembinaan waterfront baharu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Majlis Daerah Marudi (MDM), projek menaik taraf jalan ke Tinjar Hilir, projek bekalan air oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), pembinaan Dewan Masyarakat di Lapok, Tamu Serbaguna di Beluru serta Pejabat Daerah Beluru.
Beliau berkata pelaksanaan projek-projek tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan luar bandar serta meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Marudi dan sekitarnya. –EDISI UKAS