Lima Rumah Panjang Terima Manfaat Pelbagai Peruntukan Sempena Ngabang Gawai Bukit Saban
DEBAK: Lima rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima manfaat pelbagai peruntukan yang diumumkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena program Ngabang Gawai di kawasan tersebut, pada Rabu.
Kunjungan hari kedua sempena sambutan Hari Gawai itu melibatkan Rumah Panjang Bangkit Rembai Baru, Rumah Panjang Suri Tengah, Rumah Panjang Menyalin Baru, Rumah Panjang Babu Kerangan dan Rumah Panjang Inar.
Dalam kunjungan tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi setiap rumah panjang yang dilawati, manakala Biro Wanita setiap rumah panjang turut menerima peruntukan sebanyak RM 5,000 sebagai tanda sokongan kepada tuan rumah Ngabang Gawai ini.
Beliau turut meluluskan bantuan di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) sebanyak RM5,000 kepada setiap keluarga di Rumah Panjang Bangkit Rembai Baru dan Rumah Panjang Suri Tengah bagi tujuan kerja-kerja baik pulih kediaman.
Bagi Rumah Panjang Suri Tengah pula, peruntukan tambahan sebanyak RM20,000 diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran demi meningkatkan keselesaan penduduk.
Sementara itu, penduduk Rumah Panjang Menyalin Baru menerima dana sebanyak RM5,000 bagi setiap 25 keluarga untuk kerja-kerja membaik pulih rumah menerusi inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Di Rumah Panjang Babu Kerangan, beliau turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi pembinaan stor Biro Wanita yang akan digunakan sebagai kemudahan penyimpanan peralatan dan barangan komuniti.
Semasa berucap, Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu dalam memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan Bukit Saban terus diberi perhatian.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha meneroka pelbagai pendekatan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat termasuk melalui sektor pertanian dan penternakan yang mampu menjana pendapatan penduduk luar bandar.
Beliau turut menggalakkan masyarakat setempat memanfaatkan peluang ekonomi yang disediakan kerajaan selain terus menyokong agenda pembangunan yang dilaksanakan di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berharap generasi muda terus memelihara dan mengangkat warisan budaya masyarakat Iban yang menjadi identiti serta kebanggaan komuniti berkenaan.
Beliau turut memuji golongan belia di Bukit Saban yang masih aktif mengamalkan kesenian tradisional seperti tarian Ngajat walaupun berdepan arus pemodenan dan perkembangan teknologi.
Terdahulu, beliau bersama isteri, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong serta Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan N.37 Bukit Saban Natasha Nasa Uggah turut menyempurnakan upacara Ngiling Bidai di Rumah Panjang Babu Kerangan.-EDISI UKAS