Gawai Antu Warisan Budaya Dayak Yang Wajar Terus Dipelihara
MERADONG: Gawai Antu bukan sekadar adat tradisi, malah merupakan warisan budaya masyarakat Dayak yang mencerminkan penghormatan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia serta penghargaan terhadap nilai dan adat resam yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kelangsungan penganjuran Gawai Antu amat penting bagi memastikan identiti budaya masyarakat Dayak terus kekal terpelihara di tengah-tengah arus pembangunan dan perubahan zaman.
Beliau berkata, penglibatan generasi muda dalam menjayakan adat tersebut merupakan petanda positif bahawa warisan budaya masyarakat Dayak masih mendapat tempat dan dihargai oleh golongan pewaris masa depan.
“Saya berasa bangga melihat penyertaan aktif generasi muda dalam meneruskan adat Gawai Antu.
“Ini menunjukkan warisan budaya kita masih kukuh dan terus dipertahankan oleh masyarakat, khususnya golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Gawai Antu yang diadakan di Rumah Panjang Sungai Mador, Sungai Baron dan Sungai Kesa, pada Rabu.
Datuk Ding menambah, Gawai Antu bukan sahaja menjadi platform untuk mengenang dan memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia, malah turut mengeratkan hubungan kekeluargaan serta menghimpunkan sanak saudara yang datang dari pelbagai tempat
Dalam perkmebangan lain, beliau berharap rakyat terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan pelbagai agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk meneruskan usaha membawa pembangunan yang inklusif dan mampan, khususnya dalam aspek infrastruktur, kemudahan awam serta peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar.-EDISI UKAS