Pendidikan Tinggi, Penyelidikan Jadi Fokus Pertemuan TYT Sarawak Bersama Profesor Dato Sri Dr Mike
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat Profesor Dato Sri Dr Mike K.S. Chan bersama Datuk Colin Chai serta delegasi di kediaman rasmi mereka, pada Khamis.
Profesor Dato Sri Dr Mike merupakan seorang saintis, penyelidik dan pengarang yang terkenal di peringkat antarabangsa serta diiktiraf sebagai pelopor dalam bidang penyelidikan sel stem, imunologi dan perubatan bioregeneratif.
Pertemuan berkenaan menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan pendidikan tinggi, kepentingan inovasi, penyelidikan serta pemindahan ilmu ke arah memperkukuh pembangunan modal insan dan kemajuan masyarakat.
Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka potensi kerjasama strategik yang mampu menyumbang kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan bakat di Sarawak.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menekankan kepentingan usaha berterusan dalam memperkasa budaya ilmu, inovasi dan penyelidikan sebagai pemangkin pembangunan negeri pada masa hadapan.
Beliau bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah dalam pada itu turut merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut serta berharap hubungan baik yang terjalin akan terus diperkukuhkan demi kemajuan pendidikan, pembangunan bakat dan kesejahteraan rakyat. -EDISI UKAS