Semangat Perjuangan SUPP Kekal Relevan Demi Masa Depan Sarawak
MIRI: Semangat perjuangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang berteraskan keterangkuman, keadilan dan perpaduan terus kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa serta membina masa depan Sarawak yang lebih maju dan makmur.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sejak penubuhannya pada 4 Jun 1959, SUPP konsisten memperjuangkan hak rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang budaya.
Menurut beliau, SUPP mempunyai kedudukan yang unik dalam sejarah politik negeri sebagai parti politik pertama yang ditubuhkan ketika era penjajahan British dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan Sarawak sehingga hari ini.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang 67 tahun penubuhannya, SUPP terus kekal relevan hasil perpaduan, ketabahan dan komitmen ahli-ahlinya dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Kepelbagaian kaum dalam parti ini menjadi kekuatan utama yang menyumbang kepada kejayaan dan kestabilan perjuangan SUPP sejak dahulu hingga kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengibaran Bendera sempena Ulang Tahun Ke-67 SUPP yang berlangsung di Dewan Unity, di sini pada Khamis.
Program anjuran Jawatankuasa Perhubungan Parlimen SUPP Miri-Sibuti bersama lima cawangan iaitu Senadin, Pujut, Piasau, Lambir dan Bekenu itu menghimpunkan pemimpin serta ahli parti bagi memperingati sejarah dan perjuangan SUPP sejak penubuhannya.
Tambah Dato Sri Lee, walaupun berhadapan pelbagai tekanan pada era kolonial, para pemimpin terdahulu tetap mempertahankan aspirasi rakyat demi mencapai pemerintahan sendiri, keadilan dan pembangunan yang lebih baik untuk negeri ini.
Pada masa sama, beliau menyeru generasi muda agar memahami sejarah pembentukan Malaysia serta dokumen penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Laporan Cobbold.
Katanya, pemahaman terhadap sejarah tersebut amat penting bagi memastikan hak, autonomi dan kedudukan perlembagaan Sarawak terus dipelihara serta dipertahankan untuk generasi akan datang.
Turut hadir, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang serta wakil dan ahli parti daripada lima cawangan SUPP di kawasan Miri dan Sibuti.-EDISI UKAS