Prihatin Nasib Waris, Dato Idris Hulur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Nahas Kemalangan
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang menziarahi keluarga mangsa kemalangan jalan raya yang meragut lima nyawa di Kampung Lubuk Ria, di sini pada Rabu.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral kepada waris mangsa yang sedang berdepan detik sukar susulan tragedi berkenaan.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa sebagai tanda keprihatinan dan bantuan awal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh waris.
Tragedi yang berlaku di Jalan Baki Lama–Ensengei pada pagi Rabu itu mengorbankan lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan selepas kenderaan yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang paip air di tepi jalan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.41 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga wanita dan seorang bayi perempuan.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan empat mangsa dewasa yang tersepit di dalam kenderaan, manakala bayi berkenaan ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai tercampak keluar akibat impak pelanggaran.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dato Idris berkata, tragedi tersebut amat menyayat hati dan berharap ahli keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan. -EDISI UKAS