Gawai Kini Berbeza, Adat Budaya Dayak Perlu Terus Dikekalkan
SRI AMAN: Sambutan Hari Gawai Dayak pada masa kini dilihat semakin berbeza berbanding pelaksanaannya suatu ketika dahulu, namun nilai adat dan budaya masyarakat Dayak perlu terus dipelihara agar tidak ditelan arus peredaran zaman.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, masyarakat Dayak yang meraikan Hari Gawai pada masa kini kebanyakannya hanya mampu mengekalkan aspek adat dan budaya, berikutan perubahan pegangan hidup serta amalan keagamaan.
Menurut beliau, masyarakat Iban yang tinggal di rumah panjang pada zaman dahulu meraikan Gawai mengikut keperluan masing-masing dan lebih tertumpu kepada pelaksanaan ritual tertentu.
“Namun pada hari ini, kebanyakan masyarakat Iban telah menganut agama Kristian dan sambutan Gawai lebih tertumpu kepada pemeliharaan adat budaya seperti pemakaian baju burung, ngepan serta persembahan tarian Ngajat Ngalu Pengabang.
“Walaupun berbeza berbanding dahulu, adat dan budaya ini perlu terus dikekalkan kerana ia merupakan identiti masyarakat Dayak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngabang Dayak 2026 di Rumah Suntie, Sebujok, Ulu Undop, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menggalakkan masyarakat Iban untuk terus menyelitkan unsur adat dan budaya kaum mereka ketika menyambut ketibaan pengabang di rumah panjang sempena sambutan Gawai.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Dayak kepada tetamu, khususnya mereka yang bukan daripada kaum berkenaan.
“Tindakan ini penting agar tetamu dapat melihat sendiri adat serta budaya kita dan seterusnya berkongsi pengalaman tersebut dengan masyarakat lain,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sebuah biro wanita melibatkan jumlah keseluruhan RM28,000 bagi membiayai pelbagai aktiviti pertubuhan masing-masing.
Beliau juga menyempurnakan perasmian jambatan gantung baharu Kampung Sebujok Ulu Undop bernilai RM550,000 yang dibina menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Simanggang. -EDISI UKAS