Datuk Amar Douglas Teruskan Ngabang Gawai di Betong
BETONG: Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas meneruskan kunjungan Ngabang Gawai ke beberapa rumah panjang di kawasan Betong pada Khamis.
Kunjungan yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu itu melibatkan enam buah rumah panjang iaitu Rumah Panjang Selangking, Rumah Panjang Penyulok, Rumah Panjang Sungai Langit, Rumah Panjang Serudit A, Rumah Panjang Luban Ulu dan Rumah Panjang Lempaong.
Ketibaan rombongan pemimpin disambut mesra oleh penduduk setempat yang meraikan sambutan Hari Gawai Dayak dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kekeluargaan.
Kunjungan tersebut memberi peluang kepada Datuk Amar Douglas Uggah untuk beramah mesra dengan penduduk serta menyampaikan ucapan perayaan kepada komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau turut berpeluang mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat bagi memastikan pembangunan yang dirancang terus memberi manfaat kepada rakyat.
Amalan Ngabang Gawai yang menjadi tradisi masyarakat Sarawak terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk perpaduan serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan budaya.-EDISI UKAS