Kompleks SNCC Perkukuh Sokongan Menyeluruh Golongan Berkeperluan Khas
KOTA SAMARAHAN: Sarawak bakal membangunkan Special Needs Community Centre (SNCC), sebuah pusat komuniti bersepadu pertama seumpamanya yang menyediakan sokongan menyeluruh kepada golongan berkeperluan khas merangkumi intervensi awal, latihan kemahiran, pembangunan vokasional serta kemudahan penjagaan jangka panjang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, projek bernilai RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu akan dibangunkan di tapak Pusat Pemulihan Samarahan (PPS) bagi memperkukuh sistem sokongan dan pembangunan komuniti berkeperluan khas di Sarawak.
“Kompleks ini direka untuk memenuhi keperluan golongan berkeperluan khas sepanjang hayat mereka. Ia bermula dengan One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) untuk kanak-kanak bawah tujuh tahun menjalani penilaian, diagnosis dan intervensi awal sebelum memasuki sistem pendidikan formal, diikuti latihan kemahiran dan vokasional serta kemudahan penjagaan bagi individu yang tidak mempunyai waris,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat tapak projek SNCC di Pusat Pemulihan OKU Samarahan, pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau memberitahu, komponen pendidikan formal tidak disediakan di pusat tersebut memandangkan perkhidmatan itu telah ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan, manakala SNCC akan memberi fokus kepada pembangunan kemahiran, latihan vokasional dan kebolehpasaran golongan berkeperluan khas.
Antara kursus yang dirancang pada peringkat permulaan ialah teknologi maklumat (IT), jahitan, kulinari dan pastri serta seni dan kraf yang akan dilaksanakan secara modular mengikut keperluan peserta.
Selain itu, pusat berkenaan turut menyediakan kemudahan asrama bagi peserta dari luar Kuching dan Samarahan, sekali gus membolehkan lebih ramai individu berkeperluan khas dari seluruh Sarawak mendapat akses kepada perkhidmatan yang ditawarkan.
SNCC juga akan dilengkapi kemudahan asas pembangunan sukan bagi membantu mencungkil dan mengembangkan potensi atlet para negeri ini, selain menyediakan ruang untuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi individu berkeperluan khas.
Projek SNCC merangkumi blok pentadbiran, OSEIC yang dilengkapi bilik terapi, bilik integrasi sensori dan kolam hidroterapi, bengkel latihan vokasional, asrama pelatih berkapasiti 64 orang serta dewan taklimat dan sheltered workshop.
Proses tender projek dijadual dibuka pada Julai tahun ini sebelum penilaian dan pengeluaran surat setuju terima dilaksanakan pada November.
Pembinaan itu dijangka mengambil masa kira-kira 20 bulan dan pusat tersebut disasarkan siap menjelang Mei 2028.
Turut hadir ialah Senior Manager Strategic Engagement and Consultancy John Rizal Biki, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Semawi Mohamad, Arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) Vivian Wee, Ketua Bahagian Dasar dan Projek, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Rohana serta Pengarah Urusan merangkap Arkitek RKD Architects Sdn Bhd Kushahrin Kushairy. - EDISI UKAS