Ibu Bapa Digesa Manfaatkan Inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak
SPAOH: Ibu bapa di kawasan Bukit Saban digesa memanfaatkan inisiatif pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi memastikan anak-anak memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa modal insan serta menyediakan akses pendidikan yang lebih adil kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Pendidikan merupakan antara agenda penting yang terus diberi perhatian oleh Kerajaan Sarawak bagi melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 ADUN Bukit Saban yang berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas Uggah menjelaskan bahawa inisiatif pendidikan tinggi percuma itu melibatkan institusi milik Sarawak seperti Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS, Universiti Curtin dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada masyarakat Bukit Saban atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu.
Katanya, sokongan rakyat yang berterusan membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan, terutama dalam aspek infrastruktur yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu menyampaikan dasar serta agenda pembangunan kerajaan di peringkat akar umbi.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu serta kenamaan lain.-EDISI UKAS