Pasukan Perkhidmatan Bergerak SUPP Bawang Assan Bantu Penduduk Mohon KGC
SIBU: Pasukan Perkhidmatan Bergerak Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan menyantuni komuniti setempat dengan menyediakan kaunter bantuan permohonan Kad Emas Kenyalang (KGC), Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) bernilai RM500 serta panduan penggunaan aplikasi SMC Cares.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, inisiatif ini diambil memandangkan proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan pada masa kini menyukarkan golongan warga emas untuk membuat permohonan secara dalam talian.
“Bagi golongan muda, langkah-langkah muat turun dan pendaftaran aplikasi ini mungkin tidak sukar.
“Namun, bagi sesetengah warga emas, memuat turun aplikasi, mendaftar akaun, menetapkan kata laluan, dan mengisi borang dalam talian boleh menjadi satu cabaran yang agak besar.
“Oleh itu, pasukan perkhidmatan mobil ini bertujuan untuk bertindak sebagai jambatan bagi membantu penduduk mengakses manfaat-manfaat yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Perkhidmatan Bergerak SUPP Bawang Assan di Passion Corner, Tebingan Barat Sibu di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, sepanjang sesi perkhidmatan tersebut, pasukannya telah menerima banyak pertanyaan dan permohonan untuk KGC yang kini memerlukan pemohon mendaftar aplikasi Service Sarawak dan akaun e-dompet SPay Global terlebih dahulu.
“Setiap situasi pemohon adalah berbeza, dan proses pendaftaran serta permohonan dalam talian ini boleh memakan masa yang agak lama.
“Justeru, kami berharap penduduk yang datang mendapatkan bantuan dapat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sukarelawan kami sepanjang proses ini berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan masyarakat luar bandar, khususnya warga emas yang kurang mahir dengan teknologi digital, untuk memanfaatkan sesi perkhidmatan bergerak yang akan dianjurkan pada masa akan datang.
“Ini adalah salah satu tujuan utama program perkhidmatan mobil kami untuk membawa perkhidmatan terus ke dalam komuniti dan mengatasi hambatan teknikal.
“Kita tidak mahu mereka terlepas daripada menerima bantuan kebajikan kerajaan hanya kerana kekangan tidak mahir menggunakan telefon pintar atau sistem dalam talian,” katanya lagi.-EDISI UKAS