Bintulu Berpotensi Jadi Pusat Pengeluaran Sel Tenaga Angkasa
KUCHING: Bintulu berpotensi muncul sebagai pusat pengeluaran sel teknologi baharu yang mampu menjana tenaga elektrik, sekaligus meletakkan Sarawak dalam rantaian pembangunan teknologi tenaga masa depan di peringkat global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ketika ini penyelidikan sedang giat dijalankan di seluruh dunia bagi membangunkan teknologi penjanaan tenaga elektrik di angkasa lepas tanpa bergantung kepada penggunaan bateri konvensional.
Menurut beliau, kajian tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi yang memanfaatkan cahaya matahari untuk menghasilkan elektron dan seterusnya menjana tenaga elektrik.
“Sebab itulah kita perlu mempersiapkan tenaga mahir kita untuk ke arah teknologi itu dan insya-Allah Sarawak akan menghasilkan sel yang berfungsi memecahkan cahaya bagi menjana tenaga, dengan pengeluarannya dirancang di Bintulu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran ‘Sarawak Career and Training Fair’ (SCaT Fair) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, meskipun pembangunan teknologi itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Korea Selatan, usaha tersebut turut melibatkan pemindahan pengetahuan dan kepakaran berkaitan penggunaan wafer semikonduktor yang memainkan peranan penting dalam proses penukaran cahaya kepada tenaga elektrik.
Malah jelasnya, langkah ini sekali lagi akan mengurangkan kebergantungan kepada minyak asli untuk menghasilkan tenaga elektrik pada masa hadapan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi