Kejohanan Catur Cina Piala Datuk Bandar Miri Tarik Penyertaan Rentas Negeri
MIRI: Kejohanan Catur Cina Piala Datuk Bandar Miri terus mencatat perkembangan positif apabila berjaya menarik penyertaan seramai 66 pemain dari pelbagai negeri dan daerah termasuk Sabah, Johor, Kuala Lumpur, Bintulu serta Miri.
Penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan peningkatan populariti kejohanan berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform penting dalam pembangunan bakat dan pengembangan sukan catur Cina di negara ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Xiang Qi Bahagian Miri itu berlangsung di Pentas Utama, Bintang Megamall pada Jumaat dan disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapannya, Adam berkata penganjuran kejohanan tersebut memainkan peranan penting dalam memelihara serta memartabatkan warisan permainan tradisional catur Cina, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, minat yang ditunjukkan oleh golongan belia untuk menyertai pertandingan seumpama itu merupakan perkembangan positif dalam usaha memastikan permainan tradisional terus relevan meskipun berdepan pelbagai bentuk hiburan digital pada masa kini.
Katanya, kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah menyediakan ruang kepada pemain untuk mengasah kemahiran, menimba pengalaman dan mengembangkan potensi masing-masing.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini menunjukkan kejohanan ini semakin mendapat sambutan dan berjaya menarik minat pemain dari pelbagai kawasan untuk mengambil bahagian,” katanya.
Beliau turut menyifatkan peningkatan penyertaan dari luar Miri sebagai petanda bahawa kejohanan tersebut semakin dikenali dalam kalangan komuniti catur Cina di seluruh negara. –EDISI UKAS