Cadangan Penempatan Semula Paip Batu 7 Miri-Bintulu Diperinci Bersama KKR
MIRI: Cadangan penempatan semula dua paip utama bekalan air di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu akan diperincikan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah kebocoran berulang yang berlaku di kawasan tersebut.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi bagi menyelaraskan pelaksanaan projek berkenaan termasuk aspek pembiayaan.
“Untuk jangka masa panjang, oleh kerana jajaran dua jenis paip ini berada di laluan Pan Borneo, maka jajaran ini akan dipindahkan ke satu tapak yang lebih stabil. Jika mengikut prosedur, ia akan dibiayai oleh Lebuhraya Pan Borneo dan perkara ini akan dibincangkan secara terperinci dengan Dato Sri Alexander Nanta,” katanya pada sidang media selepas meninjau kebocoran infrastruktur paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu, pada Jumaat.
Menurut beliau, pelaksanaan cadangan tersebut tertakluk kepada kerjasama dengan KKR memandangkan projek Lebuhraya Pan Borneo berada di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan.
Tambahnya, isu penempatan semula utiliti termasuk paip air sememangnya menjadi sebahagian daripada prosedur pelaksanaan projek lebuh raya dan pihaknya akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi memperincikan cadangan tersebut dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi menjelaskan keadaan tanah yang lembut dan tidak stabil dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kejadian kebocoran berulang di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kejadian sama pernah berlaku kira-kira tiga tahun lalu dan hasil tinjauan mendapati terdapat sedikit mendapan pada permukaan jalan yang berkemungkinan berpunca daripada pergerakan tanah di lokasi tersebut.
“Namun kini, sekurang-kurangnya kita telah mengenal pasti isu tersebut lebih awal. Kita juga lebih bersedia berbanding tiga tahun lalu. Dengan segala persediaan yang telah dibuat, kita berharap segala-galanya akan berjalan lancar dan memperoleh hasil yang terbaik,” ujarnya.
Selain faktor tanah lembut, kesan getaran serta tekanan daripada aliran trafik yang padat turut dikenal pasti sebagai antara aspek yang boleh menjejaskan kestabilan struktur paip di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, penempatan semula jajaran paip ke kawasan yang lebih stabil dilihat sebagai langkah terbaik bagi memastikan bekalan air kekal terjamin serta mengelakkan kejadian kebocoran berulang pada masa hadapan.- EDISI UKAS