Budaya Integriti Dipupuk Dari Rumah, Bentuk Negara Berdaya Tahan
KUCHING: Pembudayaan integriti perlu bermula dari institusi keluarga kerana nilai murni yang diterapkan sejak usia awal menjadi asas penting dalam melahirkan masyarakat dan negara yang sejahtera, inklusif serta berdaya tahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kekuatan sesebuah negara tidak bermula di bangunan parlimen, pejabat kerajaan atau bilik lembaga korporat, sebaliknya bermula dari rumah menerusi pembentukan karakter dan nilai integriti dalam kalangan anggota keluarga.
Menurut beliau, kanak-kanak mempelajari nilai integriti melalui pemerhatian terhadap tingkah laku ibu bapa, termasuk aspek kejujuran, keadilan dan keupayaan menunaikan janji, sekali gus membentuk generasi yang bertanggungjawab serta berakhlak mulia.
“Anak-anak belajar bahawa kejayaan bukan semata-mata diukur melalui kekayaan, status atau pencapaian, tetapi melalui karakter yang dimiliki.
“Keluarga yang kukuh akan melahirkan warganegara yang bertanggungjawab, seterusnya membentuk komuniti yang kuat dan akhirnya membina negara yang berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku Strengthening Integrity, Empowering The Nation: Integrity As The Foundation Of Leadership di Pustaka Negeri Sarawak, pada Sabtu.
Beliau menambah, integriti bukan sekadar berkaitan usaha menolak rasuah atau mematuhi undang-undang, sebaliknya merupakan kompas moral yang membimbing tindakan dan keputusan seseorang dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, tanpa integriti, kepercayaan dalam institusi keluarga, komuniti dan organisasi akan terhakis, sekali gus menjejaskan keharmonian, kestabilan serta kemakmuran negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan dan dijadikan budaya dalam setiap organisasi, bukannya sekadar slogan atau retorik.
Menurut beliau, integriti merupakan benteng pertahanan pertama dalam mencegah rasuah serta elemen penting yang menjamin kelangsungan institusi dan pembangunan negara.
“Orang melihat apa yang kita lakukan, bukan sekadar apa yang kita katakan. Kepimpinan bermula dengan karakter, bukan jawatan.
“Jawatan hanya memberikan autoriti, tetapi integriti memberikan legitimasi dan kepercayaan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk pemimpin politik, penjawat awam, agensi penguat kuasa dan masyarakat, selain disokong oleh kesungguhan politik yang kukuh bagi memastikan tindakan tegas dapat dilaksanakan tanpa kompromi.
Terdahulu, Dato Sri Fatimah merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sarawak, Leonard Sabu atas penerbitan buku tersebut yang disifatkan berani serta mampu mencetuskan pemikiran mengenai kepentingan integriti sebagai asas kepimpinan, tadbir urus dan pembangunan negara.
Buku Strengthening Integrity, Empowering The Nation: Integrity As The Foundation Of Leadership mengetengahkan peranan integriti sebagai teras kepimpinan berwibawa serta pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang beretika, berdaya tahan dan bebas daripada amalan rasuah.-EDISI UKAS