SCaT Fair 2026 Perkukuh Agenda Pembangunan Bakat Sarawak
KUCHING: Sarawak Career and Training (SCaT) Fair 2026 terus menjadi platform strategik Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan modal insan apabila menyasarkan kehadiran lebih 25,000 pengunjung sepanjang penganjurannya tahun ini.
Program yang memasuki edisi ke-12 itu menghimpunkan lebih 130 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan, sektor swasta serta institusi pendidikan bagi menawarkan pelbagai peluang pendidikan, latihan kemahiran dan kerjaya kepada rakyat, khususnya golongan belia.
Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, SCaT Fair merupakan inisiatif penting dalam menyediakan platform sehenti yang menghubungkan peluang pendidikan, kerjaya dan bantuan pembiayaan pendidikan di bawah satu bumbung.
Menurut beliau, program yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) itu selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
“Fokus utama TEGAS adalah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), keusahawanan serta kecerdasan buatan (AI) yang menjadi pemacu utama transformasi Sarawak.
“Melalui ekosistem pembangunan bakat ini, kita mahu melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dan bukan sekadar pencari pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran SCaT Fair 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, pengunjung turut berpeluang meneroka pelbagai laluan pendidikan akademik dan TVET, menghadiri sesi temu duga terbuka bersama majikan serta mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan pendidikan secara terus sepanjang program berlangsung.
Jelas beliau, antara pengisian utama SCaT Fair 2026 termasuk Sarawak Rocketeer Can Satellite (Can-Sat) Challenge, pertandingan kemahiran digital, pameran pendidikan dan kerjaya, temu duga terbuka, Zon Industri Minyak dan Gas oleh PETROS serta pelbagai aktiviti STEM interaktif.
Dalam usaha memastikan manfaat pembangunan bakat turut dinikmati masyarakat luar bandar, TEGAS akan meneruskan program Project of Dreams Realized (PRoDR) yang bakal menjelajah ke 14 lokasi di seluruh Sarawak selepas berakhirnya SCaT Fair.
Inisiatif tersebut bertujuan memastikan pelajar di kawasan luar bandar memperoleh akses sama rata terhadap maklumat pendidikan, latihan kemahiran dan peluang kerjaya.
Pada masa sama, TEGAS akan melaksanakan lebih 100 program pembangunan bakat sepanjang tahun ini termasuk Borneo Makers Festival (BMF) 2026 yang bertemakan “Artificial Intelligence for Makers”, SCALE Sarawak, Sarawak Shell LiveWire, DROBOTEX serta StartUp World Cup Bootcamp East Malaysia Chapter.-EDISI UKAS