Pengiktirafan SITF 2026 Perkukuh Peranan Sarawak Dalam Industri Pelancongan Global
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya di persada pelancongan antarabangsa menerusi penyertaan aktif dalam dua acara pelancongan berprestij di Republik Korea, sekali gus memperluas promosi negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong global serta meneroka peluang baharu dalam industri pelancongan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengetuai delegasi kementerian ke Persidangan Industri Pelancongan Dunia ke-5 (WTIC 2026) yang berlangsung di Seoul dan Suwon dari 4 hingga 6 Jun 2026.
Pada masa sama, beliau mewakili kerajaan negeri turut menerima Anugerah SITF Eminent Tourism Pioneer 2026 bagi kategori antarabangsa sempena Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul ke-41 (SITF 2026) yang berlangsung di Coex, Seoul.
WTIC 2026 menghimpunkan pemimpin industri pelancongan dari pelbagai negara termasuk Jepun, Sri Lanka, Filipina, Nepal, Kemboja, Guam, Brunei dan Uzbekistan bagi berkongsi pandangan serta membincangkan strategi pembangunan pelancongan jangka panjang.
Datuk Sebastian turut dijemput sebagai penceramah khas dalam persidangan tersebut menerusi pembentangan bertemakan “Living-in-Travel: Long Stay Tourism As A New Business Frontier” yang mengetengahkan potensi pelancongan jangka panjang sebagai segmen baharu yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
Selain itu, beliau turut mewakili Sarawak pada Majlis Perasmian SITF 2026 bersama pemimpin industri pelancongan dari Republik Korea, Sri Lanka, Nepal, Kemboja, Filipina dan Brunei.
Kehadiran Sarawak di SITF 2026 turut diperkukuhkan menerusi penyertaan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang membuka ruang pameran khas bagi mempromosikan produk serta tarikan pelancongan negeri kepada pasaran antarabangsa.
Pengiktirafan yang diterima Datuk Sebastian serta penyertaan aktif Sarawak dalam kedua-dua acara berprestij tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan unggul di rantau ini dan di peringkat global. -EDISI UKAS