Kerja Pembaikan Paip Utama Diteruskan, Pemulihan Bekalan Air Jadi Keutamaan
MIRI: Kerja-kerja pembaikan paip utama berdiameter 1,100 milimeter yang membekalkan air kepada kira-kira 70 peratus penduduk Miri terus dilaksanakan bagi memastikan gangguan bekalan air dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelbagai persediaan telah dilakukan oleh agensi dan pihak berkaitan termasuk penyediaan lori tangki air, tangki simpanan air serta bekalan air minuman untuk kegunaan penduduk yang terjejas sepanjang tempoh gangguan berjadual.
Menurutnya, paip utama yang sedang dibaiki merupakan infrastruktur penting kepada sistem bekalan air Miri, justeru usaha sedang dipergiat bagi memastikan kerja pembaikan dapat diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Sebaik kerja selesai, proses pemulihan bekalan masih memerlukan sedikit masa kerana sistem perlu diisi semula sebelum air dapat sampai kepada pengguna, terutama kawasan yang berada di penghujung rangkaian bekalan seperti Kuala Baram,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini, pada Rabu.
Dato Sri Lee turut menggesa orang ramai supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan dan mengutamakan penggunaan untuk keperluan harian.
Beliau juga menasihatkan pengguna agar tidak panik membeli air minuman kerana bekalan adalah mencukupi hasil penambahan penghantaran stok oleh pembekal ke Miri.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan menerima aduan berhubung kenaikan harga air minuman dan telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan daripada situasi tersebut.
“Saya berharap peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga kerana ini adalah situasi yang memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau berkata pelbagai usaha turut dilakukan bagi memastikan operasi pembaikan berjalan lancar termasuk pemantauan berterusan di tapak kerja serta penyelarasan dengan agensi berkaitan.
Semasa lawatan ke lokasi pembaikan, beliau turut menghubungi Sarawak Energy bagi membaiki beberapa lampu jalan yang tidak berfungsi berhampiran kawasan kerja untuk memastikan tahap keselamatan petugas yang bekerja sepanjang malam.
Dato Sri Leeturut merakamkan penghargaan kepada semua petugas, jurutera, kontraktor dan kakitangan utiliti yang bertugas tanpa henti bagi memastikan bekalan air kepada penduduk dapat dipulihkan secepat mungkin.-EDISI UKAS