SMK Ulu Balingian Terima Dana MRP, Perkasa pembangunan, aktiviti sekolah
SELANGAU: SMK Ulu Balingian menerima peruntukan berjumlah RM40,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pembangunan serta pelaksanaan aktiviti sekolah, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai mengumumkan peruntukan MRP sebanyak RM20,000 kepada sekolah tersebut ketika merasmikan Kejohanan Olahraga Antara Rumah Sukan SMK Ulu Balingian Kali Ke-35 Tahun 2026 pada Rabu.
Pada majlis yang sama, Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta turut menyalurkan peruntukan MRP berjumlah RM20,000 yang disampaikan menerusi wakil beliau.
Menurut Dato Sri John Sikie, sukan merupakan komponen penting dalam sistem pendidikan kerana berperanan membentuk pelajar yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah, disiplin dan kepimpinan.
Beliau berkata, kejayaan seseorang tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya memerlukan keseimbangan antara ilmu pengetahuan, kemahiran, kesihatan serta pembentukan karakter.
“Sukan mengajar para pelajar menghargai masa, mematuhi peraturan, menghormati keputusan pengadil serta menerima kemenangan atau kekalahan dengan hati yang terbuka.
“Nilai-nilai inilah yang akan membentuk peribadi yang matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, kejohanan sukan sekolah bukan sekadar platform untuk mencari juara, malah menjadi medium penting dalam memupuk perpaduan, semangat kerjasama dan persahabatan dalam kalangan pelajar.
Katanya lagi, sukan turut berperanan sebagai saluran terbaik untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi serta mengharumkan nama sekolah, daerah dan negeri.
Beliau berharap lebih ramai pelajar dari kawasan Ulu Balingian dapat mencipta kejayaan dalam bidang sukan dan seterusnya muncul sebagai atlet yang mampu bersaing di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Turut hadir Pengetua SMK Ulu Balingian, Echi Tom serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Balingian, Alok Meliau.-EDISI UKAS