Pusat Pengambilan Air Dipantau Bantu Penduduk Terjejas Gangguan Bekalan Di Miri
MIRI: Kebajikan penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual di Miri terus diberi perhatian apabila pasukan Pusat Khidmat Rakyat Pujut mengadakan pemantauan di beberapa pusat pengambilan air yang disediakan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lancar kepada penduduk.
Pemantauan yang dijalankan bagi pihak Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang itu melibatkan beberapa kawasan perumahan sekitar Pujut yang terkesan dengan gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja penyelenggaraan oleh Sarawak Water.
Gangguan bekalan air yang bermula pada 10 Jun tersebut dijadual berlangsung selama kira-kira 36 jam dan merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan serta kebolehpercayaan sistem bekalan air di Miri.
Menurut Adam Yii, pemantauan berterusan di pusat-pusat pengambilan air penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat berfungsi dengan baik serta memenuhi keperluan penduduk sepanjang tempoh gangguan bekalan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Water atas komitmen dan tindakan proaktif dalam menyediakan bekalan air alternatif kepada penduduk yang terjejas.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai agar menggunakan bekalan air yang disediakan secara berhemah dan mengikut keperluan supaya kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan secara adil oleh semua penduduk yang memerlukan.
Katanya, kerjasama antara agensi berkaitan, pemimpin masyarakat dan penduduk amat penting bagi memastikan pengagihan bekalan air berjalan lancar sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan.
Tindakan turun padang oleh pasukan Pusat Khidmat Rakyat Pujut itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan serta keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan situasi yang memberi kesan kepada kehidupan harian masyarakat.
Usaha tersebut juga memperlihatkan kesediaan pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam mengurangkan impak gangguan bekalan air demi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara. – EDISI UKAS