Program RIMUP Perkukuh Perpaduan Generasi Muda Melalui Kepelbagaian Budaya
MIRI: Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan persefahaman dalam kalangan generasi muda menerusi penghayatan kepelbagaian budaya, adat resam dan perayaan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Kaunselor Tan Lek Jin yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata keunikan masyarakat majmuk Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan latar belakang merupakan asas kukuh kepada keharmonian yang dinikmati negeri ini sejak sekian lama.
Menurut beliau, walaupun rakyat Sarawak berbeza dari segi bahasa, budaya, pakaian tradisional dan kepercayaan, semangat saling menghormati serta menerima perbezaan telah menjadi kekuatan utama dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Semangat saling menghormati dan menerima perbezaan telah menjadi identiti masyarakat Sarawak yang perlu terus dipelihara oleh generasi muda hari ini.
“Perpaduan seperti inilah yang menjadi asas penting dalam pembinaan negara bangsa dan kekuatan sesebuah masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sempena sambutan Hari Gawai Dayak, Pesta Kaamatan dan Deepavali di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang pada Khamis.
Tambah beliau, program RIMUP merupakan medium berkesan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar melalui pendedahan kepada kepelbagaian budaya serta adat resam masyarakat berbilang kaum.
Katanya, sambutan perayaan seperti Hari Gawai Dayak, Pesta Kaamatan dan Deepavali bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya negara, malah menjadi wadah penting untuk mengeratkan hubungan, memupuk persefahaman dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa usaha memupuk perpaduan perlu diterapkan sejak usia muda bagi memastikan nilai toleransi, hormat-menghormati dan penerimaan terhadap kepelbagaian terus menjadi amalan masyarakat pada masa hadapan.
Menurut beliau, generasi muda memainkan peranan penting dalam meneruskan legasi keharmonian yang menjadi kekuatan utama Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama.
Sementara itu, program anjuran Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang itu turut menzahirkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kolej yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang menerusi pelbagai pengisian berteraskan kebudayaan dan integrasi masyarakat.
Turut hadir Pemangku Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Bujang, Sharizal Daus dan Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Jumari Hashim.– EDISI UKAS