Peruntukan RM245,000 Perkasa Pendidikan, Sokong Pembangunan Belia DUN Layar
BETONG: Sebanyak RM245,000 diperuntukkan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pembangunan pendidikan dan aktiviti belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar.
Daripada jumlah tersebut, RM235,000 disalurkan kepada 11 sekolah rendah dan lima sekolah menengah, manakala RM10,000 lagi diperuntukkan kepada Kelab Tenis Betong bagi menyokong penganjuran serta pelaksanaan aktiviti sukan kelab berkenaan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, bantuan yang disalurkan mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memperkukuh sektor pendidikan sebagai asas pembentukan modal insan berkualiti.
Menurut beliau, Sarawak kini amat memerlukan tenaga kerja yang dinamik dan berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan industri moden, selaras dengan matlamat pelaksanaan skim pendidikan percuma di negeri ini.
"Sehubungan itu, saya menyeru pihak pengurusan sekolah, terutamanya Guru Besar untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai hala tuju kerjaya, khususnya peluang pekerjaan yang wujud di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian cek MRP kepada semua sekolah di kawasan DUN Layar yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Layar, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pelajar meneruskan pengajian ke peringkat Tingkatan Enam kerana sistem pembelajaran yang berasaskan tugasan dan kerja kursus mampu memberi persediaan awal sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Datuk Gerald turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara ibu bapa, pihak sekolah dan wakil rakyat dalam memastikan pembangunan pendidikan anak-anak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Kita perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab ini untuk membina dan melahirkan sumber manusia yang berwibawa di daerah Betong," tambahnya.
Menyentuh aspek pendigitalan pendidikan, beliau berharap inisiatif pemberian tablet percuma kepada pelajar sekolah menengah dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran.
Pada masa sama, beliau menggesa warga pendidik untuk memanfaatkan teknologi moden dalam memperkukuh penyampaian ilmu serta memperluaskan akses kepada sumber pembelajaran yang lebih berkualiti.
Beliau turut mengingatkan pihak sekolah agar menyediakan kertas kerja lebih awal bagi memudahkan proses penyaluran bantuan pada masa hadapan, selain menegaskan kepentingan amalan integriti dan ketelusan dalam pengurusan dana yang diterima.-EDISI UKAS