SK Orang Kaya Mohammad Terima Bangunan Baharu Bernilai RM42.74 Juta
BINTULU: Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Mohammad yang telah beroperasi sejak tahun 1912 kini melakar sejarah baharu apabila menerima bangunan sekolah moden bernilai RM42.74 juta bagi meningkatkan kualiti serta keselesaan pembelajaran warga sekolah.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Infrastruktur dan Perolehan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Masnah Abang Abu Bakar berkata projek pembangunan semula sekolah berusia lebih satu abad itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Menurut beliau, kemudahan baharu yang disediakan akan membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih berkesan selaras dengan keperluan pendidikan semasa.
“Majlis pada hari ini merupakan lambang komitmen kerajaan dalam memperkasakan akses pendidikan yang berkualiti dan kondusif untuk anak-anak kita di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap SK Orang Kaya Mohammad dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samalaju pada Rabu.
Masnah memaklumkan sekolah baharu itu dilengkapi 30 bilik darjah, blok pentadbiran, blok akademik, prasekolah, kantin serta pelbagai kemudahan sokongan lain yang mampu meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan warga sekolah.
Sementara itu, Jurutera Bahagian Bintulu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir. Lau Sie Hung berkata projek tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan di Bahagian Bintulu.
Menurutnya, selain SK Orang Kaya Mohammad, pihaknya turut menyerahkan projek SMK Samalaju bernilai RM57.62 juta yang dilengkapi 36 bilik darjah, dua blok asrama berkapasiti 450 pelajar serta 24 unit kuarters guru.
Katanya, kedua-dua projek berkenaan berjaya disiapkan menerusi kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia, JKR Sarawak, kontraktor, perunding serta pelbagai agensi teknikal yang terlibat.
Pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang moden, selamat dan berkualiti bagi menyokong pembangunan modal insan serta meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Sarawak.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili dan Penolong Jurutera Bahagian Bintulu JKR Sarawak, Aizat Firdaus Ismail.– EDISI UKAS