Pembetung Jalan Riam Lama Dinaik Taraf, Kurangkan Risiko Banjir
MIRI: Kerja pembinaan semula dan penggantian pembetung konkrit bertetulang (R.C. Culvert) di Jalan Riam Lama Batu 2 dijadual bermula pada 22 Jun ini bagi menangani masalah hakisan serta meningkatkan kapasiti sistem saliran susulan pembangunan pesat di kawasan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek tersebut merupakan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah aliran air yang semakin meningkat akibat pertambahan kawasan perumahan dan pembangunan baharu di sekitar Jalan Riam Lama.
Menurut beliau, pembetung sedia ada berukuran 1.5 meter tidak lagi mampu menampung jumlah pelepasan air semasa, sekali gus memerlukan reka bentuk baharu yang lebih besar dan berkapasiti tinggi.
“Disebabkan pembangunan yang semakin pesat di kawasan ini dan pembangunan baharu yang akan datang, jumlah aliran air yang melalui pembetung ini akan meningkat dengan ketara.
“Oleh itu, saiz pembetung perlu diperbesarkan bagi memastikan ia dapat menampung keperluan semasa dan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak projek di Jalan Riam Lama Batu 2 pada Khamis.
Dato Sri Lee berkata reka bentuk baharu tersebut melibatkan pembinaan pembetung kotak berkembar (twin box culvert) dengan lebar keseluruhan 6.6 meter dan ketinggian 2.1 meter bagi meningkatkan kapasiti aliran air dari kawasan sekitar.
Katanya, projek berkenaan mengambil sedikit masa untuk dimuktamadkan kerana pelan asal perlu melalui beberapa penambahbaikan dan pengubahsuaian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan reka bentuk yang dicadangkan benar-benar memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
Menurut beliau, kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja awal serta penyediaan tapak terlebih dahulu sementara proses teknikal berkaitan reka bentuk diteruskan.
Beliau berkata pembetung baharu tersebut perlu ditempah khas dan proses fabrikasi dijangka mengambil masa kira-kira sebulan sebelum dihantar ke tapak pembinaan.
“Selepas struktur pembetung tiba di tapak, kerja pemasangan dan pembinaan dijangka mengambil masa kira-kira 90 hari untuk disiapkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Jalan Riam Lama merupakan laluan penting yang digunakan penduduk Kampung Riam Batu Dua dan kawasan Lembah Hijau selain menjadi laluan utama ke beberapa sekolah serta Hospital Miri.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan menyediakan notis awal kepada pengguna jalan raya memandangkan sebahagian laluan mungkin perlu ditutup atau dilencongkan sepanjang tempoh pembinaan.
“Kita faham pembinaan ini akan menyebabkan sedikit kesulitan kepada pengguna jalan raya kerana trafik di kawasan ini sangat sibuk.
“Oleh itu, orang ramai akan dimaklumkan lebih awal supaya dapat menggunakan laluan alternatif yang sesuai,” ujarnya.
Beliau berharap projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan masalah hakisan dan saliran yang telah berlarutan sekian lama dapat diselesaikan secara menyeluruh demi keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.– EDISI UKAS