Pendekatan Inklusif Terus Jadi Teras Kestabilan Sarawak
KUCHING: Pendekatan inklusif yang mengutamakan perpaduan serta kerjasama antara pelbagai kaum terus menjadi tunjang kestabilan politik Sarawak dan kekuatan utama dalam memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata landskap politik Sarawak dibentuk berasaskan semangat kebersamaan dan perkongsian kuasa yang merangkumi semua kaum, selaras dengan realiti masyarakat majmuk negeri ini.
Menurut beliau, pembangunan dan kemajuan Sarawak hanya dapat dicapai sekiranya semua kaum bergerak bersama tanpa dipengaruhi sentimen perkauman atau fahaman ekstrem yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Sarawak bukan milik satu kaum sahaja. Kita mesti menjaga kepentingan semua masyarakat termasuk Melayu, Dayak dan Cina kerana Sarawak adalah milik kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak 2026 pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim menambah, budaya politik yang diamalkan di Sarawak sejak sekian lama berjaya melahirkan kepimpinan yang sederhana, inklusif dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding sentimen perkauman sempit.
Katanya, pendekatan tersebut menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kestabilan politik dan keharmonian sosial yang dinikmati Sarawak sehingga hari ini.
"Kekuatan sebenar Sarawak terletak pada keupayaan rakyatnya untuk hidup bersama dalam kepelbagaian, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai contoh terbaik keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia," jelasnya lagi.-EDISI UKAS