RM563,000 Disalurkan Kepada 27 Usahawan Daro, Perkukuh Ekonomi Luar Bandar
DARO: Usaha memperkasa ekonomi luar bandar terus dipergiat menerusi penyaluran bantuan berjumlah RM563,000 kepada 27 usahawan tempatan di Daro, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam membangunkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Penyaluran bantuan tersebut dilaksanakan sempena Majlis Pecah Tanah Projek Anjung Usahawan Daro dan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa PMKS merupakan tunjang utama pertumbuhan ekonomi negeri serta memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh pembangunan komuniti dan merangsang ekonomi setempat.
“Dengan adanya kemudahan ini, usahawan akan mempunyai platform yang lebih baik untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut pada Rabu.
Beliau menambah, kedudukan Daro yang semakin strategik, didorong oleh pembangunan infrastruktur jalan raya dan jaringan jambatan yang menghubungkan kawasan pesisir dengan pusat ekonomi utama negeri, bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
Mengenai bantuan tersebut, ia merangkumi empat program pembangunan keusahawanan utama di bawah kementerian iaitu Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Program Usahawan TVET (USTEV), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) serta Program GoDigital.
Jelas Datuk Amar Awang Tengah, nisiatif tersebut bertujuan memperkukuh daya saing usahawan melalui sokongan pembiayaan, pendigitalan perniagaan, pembangunan kapasiti serta penggalakan penglibatan golongan belia dan graduan dalam bidang keusahawanan.
Pendekatan menyeluruh ini katanya selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembentukan usahawan berdaya tahan, inovatif dan mampu bersaing dalam ekonomi masa hadapan.-EDISI UKAS