Transformasi SOE Sarawak Dijangka Kurangkan Kebergantungan Geran Kerajaan RM403 Juta Menjelang 2030
KUCHING: Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Sarawak (SOE) dijangka mengurangkan keperluan geran operasi kerajaan sebanyak RM403 juta menjelang tahun 2030, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan negeri dan membolehkan lebih banyak dana disalurkan kepada projek pembangunan untuk rakyat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengurangan kebergantungan kepada dana kerajaan itu merupakan antara hasil utama yang disasarkan menerusi pelaksanaan Program Transformasi SOE Sarawak yang sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Menjelang 2030, pelaksanaan program transformasi ini oleh SOE kami diunjurkan akan mengurangkan keperluan geran operasi sebanyak kira-kira RM403 juta.
“RM403 juta. Itulah wang yang boleh dialihkan untuk menaik taraf jalan luar bandar, sekolah, pembaikan, dan pembangunan infrastruktur yang membuka peluang ekonomi di setiap pelosok Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa program ‘Sarawak SOEs Transformation Programme: A Pledge fo Good Governance, High Performance and Value Creation di sini, pada Khamis.
Premier Sarawak menambah, kajian yang dilaksanakan terhadap 36 entiti terdiri daripada badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapati masih terdapat organisasi yang bergantung kepada bantuan kerajaan bagi menampung operasi masing-masing.
Menurutnya, geran kerajaan ketika ini menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah pendapatan beberapa badan berkanun, manakala sekitar 44 peratus perbelanjaan operasi mereka dibiayai melalui geran operasi kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan transformasi yang dilaksanakan bukan bertujuan mengurangkan peranan awam SOE, sebaliknya memperkukuh keupayaan organisasi tersebut supaya lebih mampan, cekap dan berdikari dari segi kewangan.
Dalam masa sama, beliau berkata prestasi kewangan SOE negeri menunjukkan perkembangan positif apabila keuntungan keseluruhan kebanyakan entiti meningkat antara tahun 2023 hingga 2024.
Malah katanya, syarikat di bawah Setiausaha Kewangan Sarawak merekodkan peningkatan hampir 58 peratus dalam pengisytiharan dividen, manakala bilangan syarikat berkaitan badan berkanun yang mengisytiharkan dividen turut meningkat sebanyak 44 peratus.
Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut menyerahkan Roadmap Towards Financial Self-Reliance and High-Performance Playbook kepada entiti yang terlibat bagi membimbing pelaksanaan agenda transformasi ke arah prestasi lebih kukuh, kemampanan kewangan dan penciptaan nilai jangka panjang.
Selain itu, tiga penerbitan khas turut dilancarkan iaitu Board Effectiveness Handbook, Performance Management Handbook dan Leadership Development Handbook yang berfungsi sebagai panduan kepada lembaga pengarah, pihak pengurusan dan kepimpinan SOE dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan organisasi.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak serta Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS