Lima Tapak Bersejarah Baharu Bakal Diwartakan Sebagai Warisan Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pemuliharaan warisan apabila lima tapak dan struktur bersejarah yang mempunyai nilai signifikan kepada sejarah serta identiti negeri dicadangkan untuk diwartakan sebagai Warisan Sarawak di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak 2026 selepas penelitian dibuat terhadap nilai sejarah, warisan serta kepentingan tapak berkenaan kepada pembangunan dan identiti Sarawak.
Menurut beliau, tapak yang dicadangkan untuk diwartakan ialah Bangunan Old Nurses Quarters dan Japanese Building di Kuching, Tanjung Lobang Lighthouse serta Salome Dam di Miri, selain tapak Laluan Kereta Api Lama Sarawak.
“Tapak-tapak ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan mencerminkan pelbagai fasa pembangunan Sarawak, sama ada dari aspek pentadbiran, infrastruktur, sosial mahupun sejarah peperangan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak 2026 di sini, pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim menambah, pewartaan tersebut merupakan langkah penting dalam memastikan aset warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti dan sejarah Sarawak terus dipelihara serta dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh menjejaskan nilai asalnya.
Katanya, proses pewartaan akan membolehkan usaha pemuliharaan, pendokumentasian dan penyelenggaraan dilaksanakan secara lebih sistematik serta berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Morshidi Fredrick, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi dan Mantan Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof Dato Dr Jamil Hamali.-EDISI UKAS