Khazanah 400 Tahun Sultan Tengah Bakal Dicalonkan Ke UNESCO
KUCHING: Sarawak bakal mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pemuliharaan warisan apabila manuskrip Jawi klasik berusia lebih 400 tahun yang dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah, Sultan Sarawak pertama, akan dikemukakan untuk pengiktirafan UNESCO menerusi program Memory of the World.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, manuskrip tersebut merupakan antara penemuan warisan paling signifikan dalam sejarah Sarawak kerana mempunyai kaitan langsung dengan Sultan Tengah yang memainkan peranan penting dalam sejarah Kesultanan Sarawak dan Brunei.
Menurut beliau, manuskrip bertajuk Penggambaran Sri Sultan dan Sultan Tengah Kesebuah Gunung itu mengandungi catatan perjalanan hidup, pengalaman serta pemikiran Sultan Tengah dan dipercayai ditulis sendiri oleh baginda.
“Jika diteliti, manuskrip ini boleh dianggap sebagai diari peribadi Sultan Tengah yang merakamkan pengalaman dan perjalanan hidup baginda sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak 2026 di sini pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim menambah, manuskrip setebal 179 halaman itu ditulis menggunakan tulisan Jawi klasik abad ke-16 dan bahasa istana Brunei lama yang mempunyai nilai sejarah, budaya serta akademik yang amat tinggi.
Katanya, penyelidikan terhadap manuskrip berkenaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Muzium Sarawak dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak sejak 2021 sebelum berjaya diterjemahkan sepenuhnya pada 2022.
Menurut beliau, manuskrip tersebut kini menjadi sumber primer yang penting dalam usaha merekonstruksi sejarah dan biografi Sultan Tengah, selain memberikan gambaran lebih jelas mengenai sistem pemerintahan, pemikiran serta hubungan diplomatik di rantau ini pada abad ke-16.
“Penemuan ini membuka ruang baharu kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk memahami sejarah awal Sarawak dengan lebih mendalam, termasuk hubungan Kesultanan Brunei dengan Sarawak serta perkembangan politik serantau pada ketika itu,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, Jabatan Muzium Sarawak akan mengemukakan manuskrip tersebut untuk diwartakan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 sebelum proses pencalonan kepada UNESCO dilaksanakan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Morshidi Fredrick, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi dan Mantan Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof Dato Dr Jamil Hamali.-EDISI UKAS