SOE Sarawak Digesa Laksana Penilaian Kesiapsiagaan AI
KUCHING: Syarikat milik Kerajaan Sarawak (SOE) digesa melaksanakan penilaian kesiapsiagaan kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah mempercepatkan transformasi digital dan meningkatkan kecekapan operasi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan teknologi yang semakin pesat menuntut setiap organisasi bersedia menghadapi perubahan, khususnya dalam memanfaatkan AI sebagai pemacu pertumbuhan dan daya saing pada masa hadapan.
“Setiap SOE harus menilai kesediaannya, mengenal pasti kes penggunaan keutamaan dan membangunkan pelan tindakan AI yang jelas untuk pelaksanaan.
“Penemuan ini kemudiannya harus digabungkan ke dalam pelan transformasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Sarawak SOEs Transformation Programme: A Pledge fo Good Governance, High Performance and Value Creation' di sini, pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan, SOE perlu bekerjasama rapat dengan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) bagi membina keupayaan dan struktur sokongan yang diperlukan dalam usaha membangunkan keupayaan tersebut.
Menurut beliau, Sarawak perlu bersedia menghadapi gelombang perubahan teknologi global yang berkembang dengan pantas agar tidak ketinggalan dalam persaingan ekonomi berasaskan inovasi.-EDISI UKAS